Thursday, March 18, 2010
SUARA ORANG MUDA PERLU DI DENGARI!!!
Jangan perlekeh orang muda (Utusan Malaysia/Rencana 3/2/2010)
Membina modal insan - intelektual, kreatif dan inovatif - bukanlah mudah. Satu daripada langkahnya ialah mewujudkan iklim yang kondusif untuk pembangunan insan bersepadu di pelbagai peringkat seperti sekolah, universiti dan institusi belia.
Ketika melancarkan Malaysia Inovatif 2010 (MI2010) pada 27 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakan bahawa penuntut harus diberikan kebebasan untuk berfikir secara kritikal dan disokong oleh persekitaran yang interaktif. Ini bagi mewujudkan ekosistem yang mengupayakan budaya kreatif dan inovasi yang melibatkan segenap lapisan masyarakat dan bidang.
Majoriti guru, pensyarah dan pengurus belia serta pemimpin sekolah, universiti dan institusi belia komited dengan agenda ini. Bagaimanapun, malangnya, terdapat juga keadaan-keadaan yang sebaliknya, di mana sesetengah orang muda bukan sahaja tidak disediakan dengan iklim yang kondusif itu, malahan terdapat mereka yang diperlekehkan.
Sesetengah pihak menganggap gejala memperlekeh orang muda jarang berlaku. Tetapi, oleh kerana keunggulan jarang berlaku jika dibandingkan dengan kehambaran, maka, perkara yang jarang berlaku usah dipandang ringan. Sebenarnya, ia dianggap jarang berlaku kerana ia jarang dilaporkan atau dibincangkan dengan terbuka.
Namun, jika dilihat komentar tentang hal ini dalam facebook saya, maka ia tidaklah sejarang yang dijangka. Di samping itu, sesetengah orang tidak faham akan makna memperlekeh orang muda, lalu mengatakan yang gejala ini jarang berlaku.
Gejala memperlekeh orang muda muncul dalam beberapa bentuk.
Pertama, orang muda dilemparkan dengan kata-kata kesat dan sindiran. Contoh yang berlaku di sekolah ialah, "saya tak peduli awak siapa", "budak kampung", "saya tarik balik restu saya sebagai guru", "saya makan kasut kalau awak lulus" dan "awak berdoalah sajalah".
Contoh di universiti ialah, "mahasiswa tidak matang", "mahasiswa masih berhingus", "belum lulus universiti dah nak cakap pasal politik", "sudut pidato pasti berkubur", "awak siapa nak berhujah dengan saya? Saya profesor" dan "aku pegawai, atau engkau pegawai?"
Contoh dalam gerakan belia pula ialah, "awak pemimpin masa depan, sekarang ni jangan campur urusan kepimpinan", "kalau bukan wakil rakyat tak mampu memimpin persatuan belia" dan "idealisme tahi kucing".
Kedua, orang muda dikenakan peraturan atau hukuman yang keterlaluan. Terdapat kes pelajar sekolah yang telah pun selesai menjalani hukumannya, tetapi terus tidak dibenarkan mewakili sekolah/rumah dalam kokurikulum atau membuat persembahan pentas atau keluar ke bandar (jika di sekolah berasrama) hinggalah tamat persekolahannya. Ini bermakna beliau dihukum dua kali. Ini bertentangan dengan prinsip keadilan yang termaktub dalam Artikel 7 Perlembagaan Persekutuan yang menegah berlakunya "dwi-dakwaan".
Di universiti, terdapat kes mahasiswa yang dianggap bersalah (sebelum diadili), tetapi akibat tidak dapat dibuat pertuduhan kesalahan yang spesifik, maka beliau dihadapkan juga ke lembaga disiplin atas pertuduhan yang tidak munasabah seperti "menjatuhkan nama baik universiti". Justeru, tidak dapat dibayangkan sejauh manakah ketidakadilan yang berlaku sebelum Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda pada 2009.
Dalam gerakan belia, pernah terdapat dua buah badan gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM) dinafikan hak peruntukan kewangannya semata-mata kerana berbeza pendirian dengan pemimpin atasan agensi kerajaan yang berkaitan.
Ketiga, bakat orang muda dibunuh. Terdapat pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang mewakili negeri dalam sukan yang kelengkapannya tidak terdapat di sekolah, seperti squash, boling dan renang, yang ibu bapanya bersedia berbelanja sendiri untuk jurulatih dan latihan di luar, kerana memahami yang sekolah tidak mampu menyediakannya. Malangnya, sudahlah sekolah tidak menyediakan kemudahan pengangkutan, dan ibu bapa menyediakannya sendiri, pelajar berkenaan disukarkan pula mendapatkan kelulusan untuk pergi berlatih.
Terdapat idea atau program yang hendak disampaikan atau dilaksanakan oleh mahasiswa dikekang, kerana mahasiswa itu dilabelkan sebagai pembangkang. Lebih dahsyat lagi, idea atau program tersebut diberikan kepada mahasiswa lain untuk melaksanakannya. Dalam kes lain, oleh kerana tidak faham akan kepentingan sesetengah kokurikulum, seperti debat dan bola keranjang, maka, ia kurang disokong.
Terdapat idea daripada pemimpin belia yang tidak diendahkan kerana beliau tidak bergelar, berharta atau berjawatan tinggi. Anehnya, idea itu kemudiannya digunakan oleh pemimpin agensi kerajaan (yang menolak idea tersebut), tetapi tanpa sebarang pengiktirafan kepada pemimpin belia itu.
Keempat, orang muda tidak dibolehkan berbeza pendapat. Jika berbeza pendapat, pelajar tidak diberikan restu, mahasiswa dilabelkan sebagai pembangkang, manakala belia dituduh hendak tunjuk pandai.
Dan kelima, suara orang muda dinafikan. Terdapat pelajar yang telah dipilih oleh persatuannya menjadi ketua, tetapi dipaksa oleh sekolah supaya melepaskan jawatan kerana kononnya prestasi akademiknya buruk. Tetapi, syarat akademik itu tidak wujud ketika pemilihan dibuat, dan pelajar itu tidaklah buruk prestasinya. Lebih kasihan ialah pelajar itu telah pun bekerja keras mengetuai persatuannya untuk satu tempoh masa yang signifikan, termasuk berjaya mengumpulkan sejumlah besar penajaan bagi persatuan.
Terdapat mahasiswa antarabangsa yang telah dipilih menjadi Presiden Majlis Perwakilan Pelajar sebuah institut pengajian tinggi (IPT), tetapi dipaksa oleh IPT itu supaya melepaskannya kerana kononnya jawatan itu hanya boleh dipegang oleh mahasiswa Malaysia, sedangkan syarat itu tidak wujud.
Seorang Presiden MBM pernah dinafikan haknya berucap seperti yang sepatutnya di Perhimpunan Hari Belia Negara.
Tetapi, bukan orang muda sahaja yang berhadapan dengan gejala ini. Ada guru debat yang berjaya lima tahun berturut-turut membawa pasukannya ke pertandingan akhir, dan tiga kali menjadi johan, tetapi, bukan sahaja tidak mendapat sokongan daripada sekolahnya, malahan, lebih teruk lagi, beliau diberikan markah rendah dalam laporan penilaian prestasi tahunan kerana kononnya debat tidak termasuk dalam sasaran kerja tahunan.
Ada pensyarah yang menjalankan tugas hal ehwal pelajar (HEP) dengan cemerlang, tetapi tidak mendapat penilaian prestasi yang sewajarnya kerana kerja-kerja HEP tidak diiktiraf oleh ketuanya.
Ada pegawai belia yang begitu komited, yang sanggup bekerja tanpa mengira masa dan tenaga, tetapi tercicir dalam pengiktirafan kepada pegawai lain yang pandai mengampu atau mempunyai talian dengan orang besar.
Gejala buruk ini mesti dihentikan segera. Oleh kerana ia berlaku di peringkat akar umbi, maka, Menteri dan pegawai tinggi sahaja tidak mampu menanganinya. Ia memerlukan keberanian sosial setiap seorang daripada kita untuk merubahnya.
Penulis ialah Datuk Saifuddin Abdullah (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi)
0 comments:
Post a Comment