Saturday, March 6, 2010
Suara, muka bukan aurat
BARU-baru ini isu niqab (cadur) timbul apabila Sheikhul Azhar Sheikh Muhammad
Tantawi meminta para siswi Al-Azhar agar melepaskan niqab.
Walaupun ada pandangan mazhab lain mengatakan suara dan seluruh badan wanita adalah
aurat namun yang jelas mazhab Shafie yang menjadi ikutan majoriti umat Islam negara
kita meletakkan bahawa suara wanita, muka dan tangannya adalah bukan aurat.
Dan yang jelas lagi, tidak ada dalil al-Quran serta hadis mengatakan bahawa suara
dan muka wanita serta tangannya itu aurat sebagaimana sangkaan sesetengah pihak.
Apakah mereka sedar bahawa Allah S.W.T membenarkan para sahabat berkomunikasi dan
bercakap-cakap dengan mereka (isteri Nabi) di sebalik tirai sebagaimana firman-Nya
yang bermaksud: Bertanyalah kepada mereka dari belakang tabir yang demikian itu
lebih bersih bagi hati kamu dan mereka juga. (Al-Ahzab: 32 dan 53).
Dalam suatu hadis, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Apabila seorang gadis itu
dewasa (sampai umur), maka tidak halal badannya terdedah selain muka dan tangannya
sahaja."
Hakikat ini menggambarkan sebagaimana apa yang berlaku terhadap Asma binti Abu Bakar
apabila Asma datang berjumpa Nabi SAW dengan pakaian jarang dan nipis. Baginda
berpaling daripadanya lalu bersabda yang bermaksud: Wahai Asma, seorang wanita
apabila sudah baligh, tidak elok lagi badan (tubuhnya) kelihatan selain muka dan
tangannya sahaja. (Riwayat Abu Daud).
Demikian juga kaum wanita itu disuruh melabuhkan (tutupkan) atas lubang tengkuknya
sahaja bukan bermaksud tutup atas muka mereka.
Kata Syaikh Yusuf al-Qardawi, pendapat Ibnu Abbas lebih kuat dan masyhur pada
pandangan jumhur (kebanyakan) ulama, kerana katanya, banyak ayat dan hadis yang
mengarahkan kaum lelaki daripada umat Islam menyekat atau menutup pandangan mata
mereka, sama juga dengan kaum wanita disuruh merendahkan pandangan mata mereka.
Jika muka dan aurat wanita sudah tertutup kemas di depan mereka maka pastilah arahan
tersebut menjadi sia-sia dan percuma tanpa sebarang makna dan tujuan.
Pada prinsipnya suara, muka dan tangan wanita bukanlah termasuk aurat. Sekiranya
perkara tersebut memang merupakan aurat, maka sukarlah bagi kaum wanita dan tentunya
taklif atau beban syariat yang dikenakan kepada mereka bersifat usr iaitu sangat
sukar.
Ini bercanggah dengan prinsip agama Islam bahawa Ad-Dinu Yusr, iaitu agama itu
mudah, sedangkan kaum wanita juga merupakan 'makhluk sosial' yang berhajat untuk
berkomunikasi dengan sesama insan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan
lelaki ajnabi) kerana yang demikian menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit
dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan
kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). (Surah al-Ahzab: 32)
Allah tidak melarang mereka secara mutlak untuk bercakap dengan kaum lelaki bahkan
membolehkan, selama tidak mendatangkan fitnah bagi dirinya dan bagi kaum lelaki itu.
Allah melarang kaum wanita untuk melembutkan suara dan mendedah kecantikan mereka
semasa bercakap dengan kaum lelaki supaya mereka tidak tergoda ataupun tergugat
keimanannya dan menimbulkan berahinya.
Dengan demikian, pada prinsip suara, muka dan tangan wanita bukanlah aurat yang
dilarang untuk dilihat atau didengarkan.
Dahulu para sahabat daripada golongan lelaki dan wanita sering bertanya (berdialog)
kepada Rasulullah SAW tentang masalah-masalah hukum-hakam dalam agama dan didengar
oleh kaum lelaki dan wanita yang hadir daripada sahabat-sahabat baginda.
Bahkan sering pula mereka berdialog dengan para sahabat dan sebaliknya sebagaimana
di saat ada seorang wanita yang mengkritik Umar r.a. tentang perkara mas kahwin.
Rasulullah SAW pernah didatangi seorang wanita yang menawarkan dirinya untuk
dikahwini oleh Rasulullah SAW dan membiarkan Rasulullah memerhatikan dirinya dari
atas ke bawah, tetapi setelah tidak ada sambutan yang memberangsangkan, maka dia pun
terus duduk di situ, lalu berkatalah salah seorang daripada kalangan sahabat:
"Kahwinkanlah wanita ini dengan saya."
Maka Rasulullah SAW terus mengahwinkan wanita tersebut dengan lelaki yang berminat
kepadanya itu. Ini semua bukti melihat kepada muka wanita itu adalah harus dan bukan
aurat.
Menurut Al-Qurtubi, suara wanita di saat berkata-kata bukanlah termasuk aurat,
lelaki dibolehkan bercakap-cakap atau berdialog dengan wanita kerana ada hajat.
Demikian juga sebaliknya mereka dibolehkan membuka muka dan tangannya kerana tujuan
tertentu tetapi wanita tidak dibolehkan memerdukan, melembutkan atau mengindahkan
suaranya ketika bercakap dengan lelaki.
Ia kerana perkara demikian boleh menimbulkan berahinya dan juga membuat ia tergoda
dan suka. Dengan demikian sangat dianjurkan bagi kaum wanita untuk tidak berdialog
dengan kaum lelaki yang bukan mahramnya.
Dalam ketentuan syariah yang lebih berhati-hati (warak), dimakruhkan kepada kaum
wanita untuk meninggikan suara dalam membaca al-Quran, demikian pula tidak
disyariatkan 'azan' kecuali untuk jemaah wanita sahaja.
Di dalam syariat fikah, apabila seorang wanita ingin menegur kesilapan yang
dilakukan oleh imam di dalam solat berjemaah, maka ia tidak boleh menegur dengan
membaca 'tasbih' sebagaimana yang dilakukan oleh lelaki, tetapi cukup dengan menepuk
tangannya sahaja sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh
Imam Bukhari dan Muslim.
Demikian pula wanita tidak disyariatkan untuk membaca bacaan-bacaan dalam sembahyang
dengan bacaan yang nyaring pada sembahyang Maghrib, Isyak dan Subuh sebagaimana yang
disyariatkan bagi kaum lelaki sewaktu melakukan sembahyang sendirian.
Semua ini menunjukkan bahawa wanita mesti menjaga dan berhati-hati terhadap fitnah
yang boleh disebabkan oleh suara dan perhiasan mereka, bukan bermakna suaranya dan
perhiasan yang zahir merupakan aurat.
Di antara yang menggoda lelaki adalah derai tawa (ketawa) seorang wanita di depan
mereka, apalagi jenis ketawa yang memberahikan.
Demikian pula senyuman diiringi dengan ketawa kecil yang seksi lagi menggoda, inilah
yang sangat dilarang oleh agama kerana untuk menjaga harga diri wanita dan juga
mencegah daripada timbulnya fitnah. Sama juga membunyikan perhiasan yang tersembunyi
di kakinya.
Jika perkara tersebut dikatakan aurat, kenapa Rasulullah SAW sendiri pernah
mengizinkan isteri baginda melihat pertunjukan dua orang lelaki Habsyi bermain
pedang di pekarangan masjid dan mendengar dua wanita bernyanyi di rumahnya.
Ini berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah r.a, katanya, Pada
suatu hari Rasulullah SAW masuk ke tempatku. Ketika itu di sampingku ada dua orang
gadis yang sedang mendendangkan nyanyian tentang hari Bu'ats. Ku lihat Rasulullah
SAW berbaring tetapi dengan memalingkan mukanya.
Pada saat itulah Abu Bakar masuk dan ia marah kepadaku'. Katanya, "Di tempat rumah
Nabi ada seruling syaitan?'' Mendengar seruan itu, Nabi SAW menghadapkan muka
baginda kepada Abu Bakar dan berkata: "Biarkanlah kedua-duanya, hai Abu Bakar.
Dalam satu peristiwa lain, Rasulullah SAW mendengar nyanyian seorang wanita yang
bernazar untuk memukul rebana dan bernyanyi di hadapan Rasulullah SAW.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Tarmizi, daripada Buraidah,
menyebut: "Suatu hari Rasulullah SAW pergi untuk menghadapi suatu peperangan.
Setelah baginda pulang dari medan perang, datanglah seorang wanita kulit hitam lalu
berkata, "Ya Rasulullah, aku telah bernazar, iaitu kalau tuan dipulangkan Allah
dengan selamat, aku akan menabuh rebana dan bernyanyi di hadapan tuan. Mendengar hal
itu, Rasulullah SAW bersabda:Jika demikian nazarmu, maka tabuhlah. Tetapi kalau
tidak, maka jangan lakukan.
Kesemua keterangan tersebut menunjukkan bahawa suara wanita dan perhiasan yang zahir
daripadanya bukan aurat.
Rasulullah SAW juga secara praktikal pernah berbicara dengan kaum wanita seperti
mana ketika menerima bai'at daripada kaum ibu sebelum dan sesudah hijrah.
Bahkan dari segi syarak, baginda tidak pernah menghalang kaum wanita untuk
melaksanakan urusan jual beli, menyampaikan ceramah, mengaji al-Quran, membaca
qasidah atau syair. Jika suara wanita itu dianggap aurat, sudah tentu dari segi
hukum syarak dianggap haram.
Keterangan ayat al-Quran dan hadis, ditambah dengan kisah-kisah yang dapat dijadikan
teladan pada zaman Rasulullah SAW dahulu seharusnya membuka mata fikir kita untuk
tidak terus 'menzalimi dan menghukumi' wanita secara sewenang-wenangnya.
- Mohd Shauki Abd Majid
Penulis ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
0 comments:
Post a Comment