Wednesday, March 24, 2010
Wahai Insan yang bertanggungjawab
wahai insan yang bertanggungjawab,mengertikah anda masalah kami?
wahai insan yang bertanggungjawab,pedulikah anda tentang masalah kami?
wahai insan yang bertanggungjawab,fahamkah anda masalah kami?
kami ini MAHASISWA HARAPAN BANGSA,kami ini PEWARIS kepimpinan negara!
kami ini dikatakan 'YOUNG ENGINEERS' oleh anda yang petah menggunakan kata-kata!
tapi kenapa kami dilayan sebegini rupa?kami bertaruh nyawa menaiki bas yang usang
menanti masa untuk roboh!kami berpanasan didalam bas yang kelihatan segak diluaran
tapi hancur dalamannya!sampai bila kami harus bersabar wahai INSAN YANG
BERTANGGUNGJAWAB??sampai bila?sampai ada kes yang berlaku baru tindakan akan
diambil?sampai ada diantara kami terpaksa SYAHID dahulukah?mengertilah dan fahamilah
WAHAI INSAN YANG BERTANGGUNGJAWAB..
Friday, March 19, 2010
Gerakan Mahasiswa lesu
ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM 1 MALAYSIA.
Terpanggil untuk menulis pada masa ini.Agak lama tidak berkata-kata,tetapi tidak bermakna bersembunyi,masih ada di celahan kesibukan mahasiswa.Hampir sebulan majlis perwakilan pelajar sesi 2009/2010 dan persatuan-persatuan mahasiswa di seluruh universiti menaiki takta,masih sempat rasanya mengucapkan tahniah kepada pemimpin-pemimpin mahasiswa yang baru.semoga memikul amanah yang diberi dengan sebaiknya.Berat untuk saya katakan bahawa gerakan mahasiswa pada kali ini agak lesu,tetapi itu adalah realiti yang berlaku.antara faktor-faktor yang menyebabkan gerakan mahasiswa pada kali ini agak lesu:
1.Pilihan raya kampus(PRK) diadakan lambat.kelab-kelab dan persatuan mahasiswa yang bernaung di bawah JHEPA akan menukar tampuk kepimpinan yang baharu apabila pemilihan mpp yang baharu selesai,mengikut sistem sedia ada mpp merupakan badan paling atas.merujuk kepada PRK yang lambat dijalankan pada kali ini,yang paling teruk menerima kesan daripada masalah ini ialah kelab-kelab persatuan.Aktiviti yang dirancang pada awalnya terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan.Bagi persatuan fakulti saya ambil contoh MECHAPRO,bagi organisasi MECHAPRO yang baru menaiki takhta pada kali ini mereka naik diwaktu klimaks dimana waktu mahasiswa memerlukan mereka,memerlukan mereka untuk membeli buku,membeli jaket,safetyboot dan sebagainya,sedangkan organisasi mechapro yang baru naik tersebut memerlukan sedikit masa untuk memahami skop kerja yang mereka perlu lakukan,jadi disitu akan menimbulkan sedikit kekacauan dari pihak mahasiswa FKM dan organisasi MECHAPRO yang baru,kesan daripada itu nama MECHAPRO akan tercemar.
2.Mahasiswa tidak mempunyai masa untuk melakukan aktiviti.semester kali ini yang agak pendek dan jadual yang agak padat menuntut mahasiswa untuk fokus kepada pembelajaran semata-mata.Jika kita lihat di Universiti Malaysia Pahang(UMP) sendiri tidak banyak aktiviti yang telah dijalankan oleh kelab-kelab persatuan,yang ada hanyalah anual grand meeting(AGM).Sedar tak sedar semester ini hanya tinggal lagi 3 minggu,jadi tidak banyak aktiviti yang akan dijalankan pada semester ini.Semoga perubahan akan berlaku pada semester hadapan.InsyaALLAH.
Semoga perubahan akan berlaku pada semester hadapan.Gerakan Mahasiswa harus aktif pada setiap masa,kalau gerakan Mahasiswa tidak aktif,pasti persatuan staf akan merebut peluang ini dan mengambil kelebihan yang pada asalnya disediakan untuk kita yangb bergelar MAHASISWA..
Thursday, March 18, 2010
SUARA ORANG MUDA PERLU DI DENGARI!!!
Jangan perlekeh orang muda (Utusan Malaysia/Rencana 3/2/2010)
Membina modal insan - intelektual, kreatif dan inovatif - bukanlah mudah. Satu daripada langkahnya ialah mewujudkan iklim yang kondusif untuk pembangunan insan bersepadu di pelbagai peringkat seperti sekolah, universiti dan institusi belia.
Ketika melancarkan Malaysia Inovatif 2010 (MI2010) pada 27 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakan bahawa penuntut harus diberikan kebebasan untuk berfikir secara kritikal dan disokong oleh persekitaran yang interaktif. Ini bagi mewujudkan ekosistem yang mengupayakan budaya kreatif dan inovasi yang melibatkan segenap lapisan masyarakat dan bidang.
Majoriti guru, pensyarah dan pengurus belia serta pemimpin sekolah, universiti dan institusi belia komited dengan agenda ini. Bagaimanapun, malangnya, terdapat juga keadaan-keadaan yang sebaliknya, di mana sesetengah orang muda bukan sahaja tidak disediakan dengan iklim yang kondusif itu, malahan terdapat mereka yang diperlekehkan.
Sesetengah pihak menganggap gejala memperlekeh orang muda jarang berlaku. Tetapi, oleh kerana keunggulan jarang berlaku jika dibandingkan dengan kehambaran, maka, perkara yang jarang berlaku usah dipandang ringan. Sebenarnya, ia dianggap jarang berlaku kerana ia jarang dilaporkan atau dibincangkan dengan terbuka.
Namun, jika dilihat komentar tentang hal ini dalam facebook saya, maka ia tidaklah sejarang yang dijangka. Di samping itu, sesetengah orang tidak faham akan makna memperlekeh orang muda, lalu mengatakan yang gejala ini jarang berlaku.
Gejala memperlekeh orang muda muncul dalam beberapa bentuk.
Pertama, orang muda dilemparkan dengan kata-kata kesat dan sindiran. Contoh yang berlaku di sekolah ialah, "saya tak peduli awak siapa", "budak kampung", "saya tarik balik restu saya sebagai guru", "saya makan kasut kalau awak lulus" dan "awak berdoalah sajalah".
Contoh di universiti ialah, "mahasiswa tidak matang", "mahasiswa masih berhingus", "belum lulus universiti dah nak cakap pasal politik", "sudut pidato pasti berkubur", "awak siapa nak berhujah dengan saya? Saya profesor" dan "aku pegawai, atau engkau pegawai?"
Contoh dalam gerakan belia pula ialah, "awak pemimpin masa depan, sekarang ni jangan campur urusan kepimpinan", "kalau bukan wakil rakyat tak mampu memimpin persatuan belia" dan "idealisme tahi kucing".
Kedua, orang muda dikenakan peraturan atau hukuman yang keterlaluan. Terdapat kes pelajar sekolah yang telah pun selesai menjalani hukumannya, tetapi terus tidak dibenarkan mewakili sekolah/rumah dalam kokurikulum atau membuat persembahan pentas atau keluar ke bandar (jika di sekolah berasrama) hinggalah tamat persekolahannya. Ini bermakna beliau dihukum dua kali. Ini bertentangan dengan prinsip keadilan yang termaktub dalam Artikel 7 Perlembagaan Persekutuan yang menegah berlakunya "dwi-dakwaan".
Di universiti, terdapat kes mahasiswa yang dianggap bersalah (sebelum diadili), tetapi akibat tidak dapat dibuat pertuduhan kesalahan yang spesifik, maka beliau dihadapkan juga ke lembaga disiplin atas pertuduhan yang tidak munasabah seperti "menjatuhkan nama baik universiti". Justeru, tidak dapat dibayangkan sejauh manakah ketidakadilan yang berlaku sebelum Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda pada 2009.
Dalam gerakan belia, pernah terdapat dua buah badan gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM) dinafikan hak peruntukan kewangannya semata-mata kerana berbeza pendirian dengan pemimpin atasan agensi kerajaan yang berkaitan.
Ketiga, bakat orang muda dibunuh. Terdapat pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang mewakili negeri dalam sukan yang kelengkapannya tidak terdapat di sekolah, seperti squash, boling dan renang, yang ibu bapanya bersedia berbelanja sendiri untuk jurulatih dan latihan di luar, kerana memahami yang sekolah tidak mampu menyediakannya. Malangnya, sudahlah sekolah tidak menyediakan kemudahan pengangkutan, dan ibu bapa menyediakannya sendiri, pelajar berkenaan disukarkan pula mendapatkan kelulusan untuk pergi berlatih.
Terdapat idea atau program yang hendak disampaikan atau dilaksanakan oleh mahasiswa dikekang, kerana mahasiswa itu dilabelkan sebagai pembangkang. Lebih dahsyat lagi, idea atau program tersebut diberikan kepada mahasiswa lain untuk melaksanakannya. Dalam kes lain, oleh kerana tidak faham akan kepentingan sesetengah kokurikulum, seperti debat dan bola keranjang, maka, ia kurang disokong.
Terdapat idea daripada pemimpin belia yang tidak diendahkan kerana beliau tidak bergelar, berharta atau berjawatan tinggi. Anehnya, idea itu kemudiannya digunakan oleh pemimpin agensi kerajaan (yang menolak idea tersebut), tetapi tanpa sebarang pengiktirafan kepada pemimpin belia itu.
Keempat, orang muda tidak dibolehkan berbeza pendapat. Jika berbeza pendapat, pelajar tidak diberikan restu, mahasiswa dilabelkan sebagai pembangkang, manakala belia dituduh hendak tunjuk pandai.
Dan kelima, suara orang muda dinafikan. Terdapat pelajar yang telah dipilih oleh persatuannya menjadi ketua, tetapi dipaksa oleh sekolah supaya melepaskan jawatan kerana kononnya prestasi akademiknya buruk. Tetapi, syarat akademik itu tidak wujud ketika pemilihan dibuat, dan pelajar itu tidaklah buruk prestasinya. Lebih kasihan ialah pelajar itu telah pun bekerja keras mengetuai persatuannya untuk satu tempoh masa yang signifikan, termasuk berjaya mengumpulkan sejumlah besar penajaan bagi persatuan.
Terdapat mahasiswa antarabangsa yang telah dipilih menjadi Presiden Majlis Perwakilan Pelajar sebuah institut pengajian tinggi (IPT), tetapi dipaksa oleh IPT itu supaya melepaskannya kerana kononnya jawatan itu hanya boleh dipegang oleh mahasiswa Malaysia, sedangkan syarat itu tidak wujud.
Seorang Presiden MBM pernah dinafikan haknya berucap seperti yang sepatutnya di Perhimpunan Hari Belia Negara.
Tetapi, bukan orang muda sahaja yang berhadapan dengan gejala ini. Ada guru debat yang berjaya lima tahun berturut-turut membawa pasukannya ke pertandingan akhir, dan tiga kali menjadi johan, tetapi, bukan sahaja tidak mendapat sokongan daripada sekolahnya, malahan, lebih teruk lagi, beliau diberikan markah rendah dalam laporan penilaian prestasi tahunan kerana kononnya debat tidak termasuk dalam sasaran kerja tahunan.
Ada pensyarah yang menjalankan tugas hal ehwal pelajar (HEP) dengan cemerlang, tetapi tidak mendapat penilaian prestasi yang sewajarnya kerana kerja-kerja HEP tidak diiktiraf oleh ketuanya.
Ada pegawai belia yang begitu komited, yang sanggup bekerja tanpa mengira masa dan tenaga, tetapi tercicir dalam pengiktirafan kepada pegawai lain yang pandai mengampu atau mempunyai talian dengan orang besar.
Gejala buruk ini mesti dihentikan segera. Oleh kerana ia berlaku di peringkat akar umbi, maka, Menteri dan pegawai tinggi sahaja tidak mampu menanganinya. Ia memerlukan keberanian sosial setiap seorang daripada kita untuk merubahnya.
Penulis ialah Datuk Saifuddin Abdullah (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi)
Saturday, March 6, 2010
Suara, muka bukan aurat
BARU-baru ini isu niqab (cadur) timbul apabila Sheikhul Azhar Sheikh Muhammad
Tantawi meminta para siswi Al-Azhar agar melepaskan niqab.
Walaupun ada pandangan mazhab lain mengatakan suara dan seluruh badan wanita adalah
aurat namun yang jelas mazhab Shafie yang menjadi ikutan majoriti umat Islam negara
kita meletakkan bahawa suara wanita, muka dan tangannya adalah bukan aurat.
Dan yang jelas lagi, tidak ada dalil al-Quran serta hadis mengatakan bahawa suara
dan muka wanita serta tangannya itu aurat sebagaimana sangkaan sesetengah pihak.
Apakah mereka sedar bahawa Allah S.W.T membenarkan para sahabat berkomunikasi dan
bercakap-cakap dengan mereka (isteri Nabi) di sebalik tirai sebagaimana firman-Nya
yang bermaksud: Bertanyalah kepada mereka dari belakang tabir yang demikian itu
lebih bersih bagi hati kamu dan mereka juga. (Al-Ahzab: 32 dan 53).
Dalam suatu hadis, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Apabila seorang gadis itu
dewasa (sampai umur), maka tidak halal badannya terdedah selain muka dan tangannya
sahaja."
Hakikat ini menggambarkan sebagaimana apa yang berlaku terhadap Asma binti Abu Bakar
apabila Asma datang berjumpa Nabi SAW dengan pakaian jarang dan nipis. Baginda
berpaling daripadanya lalu bersabda yang bermaksud: Wahai Asma, seorang wanita
apabila sudah baligh, tidak elok lagi badan (tubuhnya) kelihatan selain muka dan
tangannya sahaja. (Riwayat Abu Daud).
Demikian juga kaum wanita itu disuruh melabuhkan (tutupkan) atas lubang tengkuknya
sahaja bukan bermaksud tutup atas muka mereka.
Kata Syaikh Yusuf al-Qardawi, pendapat Ibnu Abbas lebih kuat dan masyhur pada
pandangan jumhur (kebanyakan) ulama, kerana katanya, banyak ayat dan hadis yang
mengarahkan kaum lelaki daripada umat Islam menyekat atau menutup pandangan mata
mereka, sama juga dengan kaum wanita disuruh merendahkan pandangan mata mereka.
Jika muka dan aurat wanita sudah tertutup kemas di depan mereka maka pastilah arahan
tersebut menjadi sia-sia dan percuma tanpa sebarang makna dan tujuan.
Pada prinsipnya suara, muka dan tangan wanita bukanlah termasuk aurat. Sekiranya
perkara tersebut memang merupakan aurat, maka sukarlah bagi kaum wanita dan tentunya
taklif atau beban syariat yang dikenakan kepada mereka bersifat usr iaitu sangat
sukar.
Ini bercanggah dengan prinsip agama Islam bahawa Ad-Dinu Yusr, iaitu agama itu
mudah, sedangkan kaum wanita juga merupakan 'makhluk sosial' yang berhajat untuk
berkomunikasi dengan sesama insan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan
lelaki ajnabi) kerana yang demikian menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit
dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan
kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). (Surah al-Ahzab: 32)
Allah tidak melarang mereka secara mutlak untuk bercakap dengan kaum lelaki bahkan
membolehkan, selama tidak mendatangkan fitnah bagi dirinya dan bagi kaum lelaki itu.
Allah melarang kaum wanita untuk melembutkan suara dan mendedah kecantikan mereka
semasa bercakap dengan kaum lelaki supaya mereka tidak tergoda ataupun tergugat
keimanannya dan menimbulkan berahinya.
Dengan demikian, pada prinsip suara, muka dan tangan wanita bukanlah aurat yang
dilarang untuk dilihat atau didengarkan.
Dahulu para sahabat daripada golongan lelaki dan wanita sering bertanya (berdialog)
kepada Rasulullah SAW tentang masalah-masalah hukum-hakam dalam agama dan didengar
oleh kaum lelaki dan wanita yang hadir daripada sahabat-sahabat baginda.
Bahkan sering pula mereka berdialog dengan para sahabat dan sebaliknya sebagaimana
di saat ada seorang wanita yang mengkritik Umar r.a. tentang perkara mas kahwin.
Rasulullah SAW pernah didatangi seorang wanita yang menawarkan dirinya untuk
dikahwini oleh Rasulullah SAW dan membiarkan Rasulullah memerhatikan dirinya dari
atas ke bawah, tetapi setelah tidak ada sambutan yang memberangsangkan, maka dia pun
terus duduk di situ, lalu berkatalah salah seorang daripada kalangan sahabat:
"Kahwinkanlah wanita ini dengan saya."
Maka Rasulullah SAW terus mengahwinkan wanita tersebut dengan lelaki yang berminat
kepadanya itu. Ini semua bukti melihat kepada muka wanita itu adalah harus dan bukan
aurat.
Menurut Al-Qurtubi, suara wanita di saat berkata-kata bukanlah termasuk aurat,
lelaki dibolehkan bercakap-cakap atau berdialog dengan wanita kerana ada hajat.
Demikian juga sebaliknya mereka dibolehkan membuka muka dan tangannya kerana tujuan
tertentu tetapi wanita tidak dibolehkan memerdukan, melembutkan atau mengindahkan
suaranya ketika bercakap dengan lelaki.
Ia kerana perkara demikian boleh menimbulkan berahinya dan juga membuat ia tergoda
dan suka. Dengan demikian sangat dianjurkan bagi kaum wanita untuk tidak berdialog
dengan kaum lelaki yang bukan mahramnya.
Dalam ketentuan syariah yang lebih berhati-hati (warak), dimakruhkan kepada kaum
wanita untuk meninggikan suara dalam membaca al-Quran, demikian pula tidak
disyariatkan 'azan' kecuali untuk jemaah wanita sahaja.
Di dalam syariat fikah, apabila seorang wanita ingin menegur kesilapan yang
dilakukan oleh imam di dalam solat berjemaah, maka ia tidak boleh menegur dengan
membaca 'tasbih' sebagaimana yang dilakukan oleh lelaki, tetapi cukup dengan menepuk
tangannya sahaja sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh
Imam Bukhari dan Muslim.
Demikian pula wanita tidak disyariatkan untuk membaca bacaan-bacaan dalam sembahyang
dengan bacaan yang nyaring pada sembahyang Maghrib, Isyak dan Subuh sebagaimana yang
disyariatkan bagi kaum lelaki sewaktu melakukan sembahyang sendirian.
Semua ini menunjukkan bahawa wanita mesti menjaga dan berhati-hati terhadap fitnah
yang boleh disebabkan oleh suara dan perhiasan mereka, bukan bermakna suaranya dan
perhiasan yang zahir merupakan aurat.
Di antara yang menggoda lelaki adalah derai tawa (ketawa) seorang wanita di depan
mereka, apalagi jenis ketawa yang memberahikan.
Demikian pula senyuman diiringi dengan ketawa kecil yang seksi lagi menggoda, inilah
yang sangat dilarang oleh agama kerana untuk menjaga harga diri wanita dan juga
mencegah daripada timbulnya fitnah. Sama juga membunyikan perhiasan yang tersembunyi
di kakinya.
Jika perkara tersebut dikatakan aurat, kenapa Rasulullah SAW sendiri pernah
mengizinkan isteri baginda melihat pertunjukan dua orang lelaki Habsyi bermain
pedang di pekarangan masjid dan mendengar dua wanita bernyanyi di rumahnya.
Ini berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah r.a, katanya, Pada
suatu hari Rasulullah SAW masuk ke tempatku. Ketika itu di sampingku ada dua orang
gadis yang sedang mendendangkan nyanyian tentang hari Bu'ats. Ku lihat Rasulullah
SAW berbaring tetapi dengan memalingkan mukanya.
Pada saat itulah Abu Bakar masuk dan ia marah kepadaku'. Katanya, "Di tempat rumah
Nabi ada seruling syaitan?'' Mendengar seruan itu, Nabi SAW menghadapkan muka
baginda kepada Abu Bakar dan berkata: "Biarkanlah kedua-duanya, hai Abu Bakar.
Dalam satu peristiwa lain, Rasulullah SAW mendengar nyanyian seorang wanita yang
bernazar untuk memukul rebana dan bernyanyi di hadapan Rasulullah SAW.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Tarmizi, daripada Buraidah,
menyebut: "Suatu hari Rasulullah SAW pergi untuk menghadapi suatu peperangan.
Setelah baginda pulang dari medan perang, datanglah seorang wanita kulit hitam lalu
berkata, "Ya Rasulullah, aku telah bernazar, iaitu kalau tuan dipulangkan Allah
dengan selamat, aku akan menabuh rebana dan bernyanyi di hadapan tuan. Mendengar hal
itu, Rasulullah SAW bersabda:Jika demikian nazarmu, maka tabuhlah. Tetapi kalau
tidak, maka jangan lakukan.
Kesemua keterangan tersebut menunjukkan bahawa suara wanita dan perhiasan yang zahir
daripadanya bukan aurat.
Rasulullah SAW juga secara praktikal pernah berbicara dengan kaum wanita seperti
mana ketika menerima bai'at daripada kaum ibu sebelum dan sesudah hijrah.
Bahkan dari segi syarak, baginda tidak pernah menghalang kaum wanita untuk
melaksanakan urusan jual beli, menyampaikan ceramah, mengaji al-Quran, membaca
qasidah atau syair. Jika suara wanita itu dianggap aurat, sudah tentu dari segi
hukum syarak dianggap haram.
Keterangan ayat al-Quran dan hadis, ditambah dengan kisah-kisah yang dapat dijadikan
teladan pada zaman Rasulullah SAW dahulu seharusnya membuka mata fikir kita untuk
tidak terus 'menzalimi dan menghukumi' wanita secara sewenang-wenangnya.
- Mohd Shauki Abd Majid
Penulis ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
Keranda 152
Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
kita arak keranda 152
ke tanah perkuburan parlimen
sepuluh tanah nafas ini terhenti
hari ini jangan lagi menyanyi
sebentar lagi malam akan tiba
tiap pintu dan jendela sudah dijaga
bayang-bayang tidak bisa lewat jalan
raya
Anak Melayu
namamu telah diseru
jawablah sebelum lidahmu jadi bisu
Usman Awang
1967